Page 2 - Buletin Jun 2016
P. 2
Muka surat 2
Muka surat 2 INFO@PUSTAKA
Dari Meja Ketua Pustakawan
Bismillahirrahmanirrahim.
Salam hormat dan selamat menyambut tahun baharu 2016.
Cabaran perpustakaan akademik di awal tahun 2016 adalah pengurangan bajet
mengurus dan bajet perolehan buku dan sumber perpustakaan lain. Di samping itu
GST juga dikenakan bagi perolehan bermula April tahun ini.
Keadaan ekonomi negara sebegini memerlukan perbelanjaan berhemah bagi universiti
dan perpustakaan kerana ia melibatkan pemotongan bajet secara keseluruhan yang
diterima oleh setiap universiti untuk diagihkan kepada semua fakulti dan pusat
tanggungjawab. Perolehan buku baharu mengambilkira bahan rujukan utama dan
buku rujukan yang betul-betul diperlukan, termasuk tambahan buku penerbitan yang terkini dan
relevan dengan program yang dijalankan di universiti.
Namun demikian perkhidmatan dan kemudahan kepada pelanggan perpustakaan tetap menjadi fokus
bagi Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI. Ini bermakna staf perpustakaan perlu sentiasa cekap dalam
memberi perkhidmatan dan berusaha meningkatkan pengetahuan dan kompetensi diri.
Pada 5-7 Februari 2016, perpustakaan berjaya mengadakan ‘retreat’ atau ‘team building’ di Melaka
yang melibatkan majoriti staf. Perancangan bagi permohonan bajet untuk ‘retreat’ ini adalah pada
tahun 2015. Pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan untuk meningkatkan motivasi dan semangat
kerjasama serta ‘sense of belonging’ dalam kalangan staf. Salah satu pengisian program adalah
ceramah bertajuk “Bekerja dari Perspektif Islam” yang disampaikan oleh Y.Bhg.
Dr. Ahmad Zulfiqar Shah bin Abdul Hadi iaitu Timbalan Pengarah Pusat Islam, UPSI.
Program ini membawa manfaat untuk semua staf agar lebih menghayati diri dan berazam meningkat-
kan perkhidmatan dengan lebih cemerlang serta memenuhi kepuasan pelanggan. Semoga
perpustakaan akan terus mencapai kejayaan yang bukan hanya diukur secara luaran, tetapi mentaliti
dan sikap terbuka semua staf yang positif dan mencerminkan budaya yang bersopan dan menarik.
Rusliza Yaacob
Dari Meja Ketua Pengarang
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca budiman.
Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI bertuah menjadi pusat penyebaran ilmu yang
bukan hanya memberi manfaat kepada warga universiti malah kepada masyarakat
sekitar Tanjong Malim terutamanya pelajar sekolah. Perkhidmatan dan kemudahan
yang disediakan memungkinkan budaya membaca dan menuntut ilmu dapat
dilaksanakan secara berterusan.
Perpustakaan memaparkan beberapa artikel yang boleh dikongsi bersama untuk isu
kali ini seperti latihan atau kursus khusus yang menampilkan penceramah luar dan
diadakan di perpustakaan untuk pegawai profesional dan pembantu perpustakaan. Diantaranya ada-
lah Institutional Repository (IR), Resource Description and Access (RDA), Transformasi Pentadbiran
dan Pengurusan Perpustakaan dan beberapa artikel lain. Selain daripada meningkatkan budaya
membaca, artikel dan laporan ini boleh disimpan sebagai dokumentasi perpustakaan untuk rujukan
di masa akan datang.
Pelbagai program dan aktiviti diadakan di perpustakaan untuk tatapan pelanggan dan pembaca
semua, termasuklah pameran bertema yang diharapkan dapat memberi tambahan maklumat dan
ilmu. Selain menyajikan aktiviti untuk pelanggan dan pengunjung, perpustakaan juga menerima
lawatan dari pelbagai institusi dan sekolah serata negeri dan dari luar negara. Saya berharap
perpustakaan bukan hanya menjadi gedung ilmu, tetapi sebagai pusat interaksi dan percambahan
fikiran dalam kalangan para ilmuan.
Siti Sumaizan Ramli