Penaga, Pulau Pinang, 26 April 2025 – Seramai 30 orang guru Sains dan Biologi dari sekolah-sekolah sekitar Pulau Pinang telah menyertai Program Citizen Science 2.0: Eksplorasi Burung Pantai Hijrah & Ekosistem Tanah Lembap yang berlangsung di Dewan Unit Nelayan, Sungai Tembus, Penaga.
Program anjuran bersama Shorebirds Peninsular Malaysia Project (SPMP) dan Center of Biodiversity and Conservation (CeBEC), UPSI ini, dengan kerjasama Unit Nelayan Sungai Tembus, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST), Think City Sdn. Bhd. dan Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI, bertujuan memberi pendedahan kepada para pendidik mengenai burung pantai hijrah serta keunikan habitat tanah lembap di kawasan Teluk Air Tawar–Kuala Muda.
Melalui sesi ceramah, bengkel dan aktiviti lapangan, peserta berpeluang mempelajari kaedah pemerhatian burung serta memahami kepentingan pemuliharaan ekosistem tanah lembap sebagai habitat penting bagi spesies burung migrasi.
Program ini turut menjadi platform untuk menggalakkan warga pendidik menerapkan elemen citizen science dalam proses pembelajaran di sekolah, sekaligus menyemai kesedaran terhadap pemeliharaan biodiversiti di kalangan generasi muda.




