‘Little Free Library’ UPSI : Stesen seterusnya… Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 22 Disember 2025 – Konsep perkongsian ilmu melalui rak buku Little Free Library UPSI terus berkembang apabila ia kini ditempatkan di lokasi terbaharu iaitu di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Ini menjadikan jumlah lokasi ‘Little Free Library’ UPSI kepada enam (6) termasuk lima (5) lokasi lain iaitu di stesen kereta api Tanjong Malim, Kampar, Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping. Menariknya, ini merupakan lokasi pertama Little Free Library UPSI yang dilaksanakan di luar negeri Perak.

Pelaksanaan Little Free Library UPSI di stesen ini berjaya direalisasikan melalui kerjasama erat bersama pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC). Usaha ini membuktikan komitmen bersama UPSI (melalui Perpustakaan Tuanku Bainun) dan RAC dalam menyokong budaya  membaca dan pembelajaran sepanjang hayat. Ini sekaligus dapat membuktikan bahawa stesen kereta api juga boleh dijadikan sebagai ruang mesra ilmu dan pembacaan.

Kedudukan rak buku ‘Little Free Library’ UPSI di hadapan kaunter tiket KTMB dapat memudahkan orang ramai khususnya penumpang kereta api mengakses bahan bacaan sementara menunggu untuk ke destinasi mereka. Bahan bacaan yang disediakan pula adalah bacaan santai dan umum, sesuai untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia. Sejajar dengan konsep ‘Take a book, Leave a book’ yang menjadi asas kepada Little Free Library, pihak UPSI berharap penumpang kereta api khususnya dapat mengisi masa menunggu dengan aktiviti yang bermanfaat. Inisiatif ini dilihat seperti satu usaha yang kecil tetapi ia mampu memberi impak besar dalam memupuk budaya membaca di kalangan masyarakat.

Little Free Library UPSI Kuala Lumpur