Pada tahun ini, Perpustakaan Tuanku Bainun sekali lagi menganjurkan Program Ilmu dan Budaya Membaca di mana Pesta Buku merupakan salah satu aktiviti yang sering menjadi tumpuan pencinta buku. Pesta Buku kali ini berlangsung dengan dipenuhi pelbagai aktiviti tambahan yang mampu menarik perhatian para pengunjung. Pada 28 September 2012, kemeriahan Pesta Buku UPSI semakin terasa apabila Raja Pensel Warna iaitu Uneh atau nama sebenarnya Hasren Ismail telah menjejakkan kaki di UPSI untuk menjayakan Program Mari Belajar Mewarna Bersama Uncle Uneh. Uneh kini menjadi perhatian apabila wajah dan kebolehan beliau mewarna sering dapat ditonton di kaca televisyen.
Program ini dijalankan dalam 2 sesi iaitu pagi dan petang. Sesi pagi adalah untuk kanak-kanak tadika 5 dan 6 tahun. Manakala sesi petang pula terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam seni mewarna ini. Bayaran yang dikenakan adalah berpatutan dan percaya atau tidak, ianya amat berbaloi. Kepetahan Uneh dan aksinya yang santai semasa memberi tunjuk ajar telah berjaya membuatkan para peserta terus mewarna mengikut arahan sebagaimana yang ditunjukkan oleh beliau. Apa yang menariknya, peserta kanak-kanak begitu teruja hingga sanggup menuju ke hadapan pentas untuk menunjukkan hasil lukisan mereka kepada Uneh. Ada juga ibubapa yang menemani anak mereka tetapi akhirnya mereka sendiri turut sama menghasilkan lukisan bermotifkan pokok yang menarik. Dalam program ini juga, Uneh telah menunjukkan cara-cara untuk mengasah pensel dengan betul dan menjimatkan. Satu tip yang sangat menarik khususnya kepada ibubapa!
Program ini telah berjaya menarik lebih seratus orang peserta dari yang muda hinggalah ke usia dewasa. Terima kasih kepada semua peserta kerana menyokong aktiviti mewarna bersama Uncle Uneh. Perpustakaan Tuanku Bainun juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Uneh kerana sudi menjayakan program ini.
Buah selasih buah kelubi
Untuk hidangan di waktu pagi
Terima kasih daun keladi
Bila diundang datanglah lagi.